CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, March 13, 2010

Transformasi Kepemimpinan


Assalammualaikum w.b.t

Alhamdulillah hamba masih lagi di beri ruang dan peluang dari Sang Pencipta untuk terus berada dalam nikmat Islam dan melangkah terus membawa risalah dakwah demi untuk mencetus rasa 'ingin'. Semoga nikmat ini terus-terusan hingga akhir nafas. Di celahan waktu yang makin laju melewati, hamba ingin terus mencetus MAHU kawan-kawan, aktivis-aktivis mahasiswa, dan seluruhnya yang MAHU, CAKNA dan PEDULI untuk memenuhi ruang minda dan segala ruang yang ada untuk hadir ke KONGRES GERAKAN MAHASISWA NASIONAL untuk lihat, dengar dan lontar segala idea dan pandangan dalam majlis yang hamba kira satu titik permulaan dalam mencetus transformasi, solidariti dan hala tuju kepemimpinan teraju anak muda. Ayuh semua, Jom ke sana!!!

Wednesday, March 3, 2010

Apa dosa si kecil???


Sedih dan marah bercampur baur dalam diri hamba tatkala membaca berita kematian Allahyarham Syafiah Humairah yang di bunuh kejam manusia zalim berhati binatang. Cukup zalim dan perlakuan makhluk seperti ini tak kan dapat diterima oleh akal manusia yang sempurna lagi sihat! Hamba cukup sedih saat membayangkan betapa si comel ini menanggung azab tatkala disiksa dan didera manusia bernafsu bahimiyyah. Lumrahnya, si tua menyayangi dan melindungi si kecil, namun betapa lompang dan butanya hati si tua lantaran tak punya belas dan kasihan buat si kecil, yang entah pada pandangannya si kecil itu seperti apa, tergamak memperlakukannya sekejam itu.

Lemahnya iman umat akhir zaman ini... Tatkala nafsu xbisa dikawal dan menggila, anak-anak permata hati menjadi mangsa. Keluarga yang patut menjadi pelindung dan menabur mawaddah buat anak-anak, bertukar menjadi tempat yang cukup merunsing dan menyiksakan. Halal haram sudah tidak kenal, lantas hukum agama di tinggal dan di pandang sepi begitu sahaja. Hamba termenung, 'bagaimana mungkin ibu bapa seperti ini mampu memberi pendidikan terbaik buat anak-anak? Acuan yang bagaimana akan di guna?? Hamba mengambil analogi mudah yang acapkali disebut, sedangkan binatang yang tak punya akal mampu menyayangi si anak, apatah lagi manusia yang di beri akal sempurna dan di tinggikan darjatnya oleh Allah Taala?? Hamba tertanya dan merenung lagi, mencari apa yang menjadi punca kezaliman seperti ini?? apakah silapnya..adakah sudah terhakis atau mungkin langsung hilang rasa bertuhan? atau mungkinkah pegangan aqidah yang lenyap langsung lantaran terlalu banyak berkiblatkan barat yang tertanam dan di tanam dalam diri? ataupun boleh jadi sistem tarbbiyyah atau pendidikan yang tidak kena? ah! terlalu banyak kemungkinan. Al-fatihah buat si comel yang tak punya dosa, Syafiah Humairah...

~Ikhlas dan sejati akan bertemu di dalam senyuman anak kecil, senyum yang sebenarnya senyum, senyum yang tidak disertai apa-apa. ( Hamka )

Monday, March 1, 2010

Hari-hari adalah Tarbiyyah

Sekadar mengimbas kembali kisah sebulan yang lepas, betapa banyak mehnah harus di tempuh oleh mereka yang bergelar pencinta kebenaran. Bagi hamba, bukan mudah menghadapi dugaan dan cabaran lantaran diri hamba cuma insan biasa. Tidak punya pangkat mahupun harta yang mampu menarik atau membeli jiwa manusia. Insan di zaman ini membeli jiwa dan hati manusia dengan wang ringgit. Lantas, yang hina di pandang mulia, yang keji di agung-agung. Akhir zaman, lumrahnya begitu. Hanya mereka yang melihat dengan mata hati mampu menilai kebenaran. Jauh di sudut hati, hamba cukup kagum dengan ketabahan dan kecekalan sahabat-sahabat hamba dalam meniti fasa -fasa yang cukup getir pada waktu itu. Ketika berdepan, serasa mahu tersungkur, lemah dan tak bermaya lantaran memikirkan diri tidak punya apa. Namun betapa Yang Maha Esa menenteramkan hati hamba-hambaNya, lantas di sentuhNya dengan rasa kekuatan dan pergantungan padaNya, Rabbul Alamin. Lenyap rasa gentar dan bimbang tatkala berdepan dengan kezaliman kerana sesungguhnya Dia telah memberi kekuatan pada setiap hamba yang berjuang di jalanNya. Benarlah berjuang di jalan Allah itu cukup manis dan indah. Betapa kepayahan mengajar 1001 erti kehidupan. Walau di halang dan di asak dengan pelbagai macam rintangan dan tipu daya, namun ibarat air sungai yang mengalir, tetap akan bergerak menuju matlamat. Di jiwa hamba, meresap pelbagai rasa saat berdepan situasi yang tidak disangka. Sungguh! ia menuntut tadhiyyah yang tinggi. Ingatan hamba, usah di canang soal perjuangan andai diri masih ragu. Di sisi yang lain, hamba mengagumi usaha sahabat-sahabat yang pada perkiraan hamba, anak-anak muda yang berjiwa besar. Perjuangan takkan berhenti hanya sekadar itu kerana perjuangan adalah tarbiyyah dan hari-hari adalah tarbiyyah.

kalam hamba...

Assalammualaikum w.b.t... Pertama kali dan entah bagaimana, hati yang tak pernah tertarik dan berminat untuk mencoret kalam cyber, terdetik rasa mahu mengukir kata. Kalau sebelum ini, sekadar membaca bait kalam dan buah fikir dari ruang pandangan sahabat-sahabat, kali ini hamba juga mahu turut serta. Sekadar berkongsi dan memberi, mungkin juga mohon tunjuk ajar dan pandangan. Semoga medium ini mampu meneruskan agenda mengislah lantaran waqi' yang menuntut.

p/s: Kredit untuk Akma atas tunjuk ajar =)