CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, December 15, 2010

Puasa hari Tasu'a dan Asyura

Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, ketika Nabi s.a.w. tiba di Madinah, Baginda melihat orang yahudi berpuasa pada hari asyura. Nabi pun bertanya, "Hari apa ini ?". Jawab mereka, "Hari ini ialah hari yang baik. Pada hari ini Allah melepaskan Bani Israil dari musuh mereka, kerana itu Nabi Musa berpuasa kerananya". Sabda Nabi, "Aku lebih berhak daripada kamu dengan Musa". Oleh itu Nabi berpuasa dan menyuruh orang lain berpuasa pada hari asyura. (Sahih Bukhari)

Dari Aisyah r.a. katanya "Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari asyura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, Baginda juga berpuasa pada hari asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga". (Sahih Muslim)

Dari Salamah bin Akwa r.a. dia menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. mengutus seorang lelaki suku Aslam pada hari Asyura dan memerintahkan kepadanya supaya mengumumkan kepada orang ramai, "Sesiapa yang belum puasa hari ini hendaklahlah dia berpuasa dan siapa yang telah terlanjur makan hendaklahlah dia puasa juga sejak mendengar pengumuman ini sampai malam". (Sahih Muslim)

Dari Ibnu Abbas r.a katanya, " Penduduk Khaibar berpuasa pada hari asyura dan menjadikannya sebagai hari raya, dimana wanita mereka memakai perhiasan dan pakaian yang indah pada hari itu. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, "Puasalah kamu pada hari itu". (Sahih Muslim)

Mengharap keampunanNya di sepanjang kembara...
 
Dari Abu Qatadah Al-Anshari r.a. katanya Rasulullah s.a.w. ditanya orang tentang puasa hari arafah (9 Zulhijjah). Jawab baginda, "Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan datang". Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari asyura (10 Muharram). Jawab baginda, "semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu". (Sahih Muslim)

Imam Syafi`e Rahimahullahu Ta`ala menyebutkan di dalam Kitab Al-Umm dan Al-Imla' disunatkan berpuasa tiga hari iaitu hari kesembilan (Tasu`a'), kesepuluh (`Asyura') dan kesebelas bulan Muharram. Tetapi tidak ditegah jika berpuasa hanya pada 10 Muharram sahaja.
 
 
 
::Semoga Allah mengampuni setiap detik zulumat hambaNya yang hina ini, lantas di  ganti dan beriNya bekal dengan Nur iman... Sungguh, Dia itu Maha Pengampun, Pemurah, lagi Maha Penyayang. Terima kasih Ya Allah... ::
~Hamba hanya hamba~

Saturday, December 11, 2010

Ceritera Itu...

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...

          Dalam keterbatasan waktu, di sempatkan juga untuk mencoret sedikit, membersihkan blog hamba yang hampir-hampir bersawang ni. Sekadar perkongsian,tertarik membaca kisah ceritera yang di ambil dari sebuah laman web. Bukan dan bukan kerana kisah cinta islamic yang di tonjolkan yang menarik minat hamba, tapi kerana olahan dan content di penghujung cerita. Ada mesej yang mahu disampaikan... "Perjuangan". 

         Teringat kata-kata al-ustaz semasa hamba jaulah di Melaka, dakwah harus terus disubur, kelangsungan dan kebangkitan Islam matlamatnya. Justeru, merancang masa depan itu harus direncana sebaiknya. Bukan sahaja siapa, tetapi apa yang boleh di sumbangkan dan samada kita bisa mengekal atau menganjak momentum tarbiyyah dan dakwah ke arah lebih baik atau sebaliknya. Dan yang terpenting, mampu atau tidak kita ini meladeni, menggenggam dan mendokong Islam itu hingga akhir hayat??? Muhasabah untuk diri hamba sendiri yang utamanya, juga buat kamu, anda dan semua di luar sana. Itu yang harus kita fikirkan di saat segelintir kalangan pendakwah, da'ie mahupun pendokong gerakan  yang sewajibnya mengislah (memperbaiki), menjadi kalangan mutasaqitun a'la tariqid da'wah lantaran di uji dengan ujian kesenangan, apatah lagi kesukaran, saat berdepan realiti 'dunia sebenar'


Semangat dilandasi Iman

           Koreksi buat hamba ,dan kamu... yang sedang berada di medan 'belajar'.. ya! belajar memahami , mengenal, merasa sakit di lukai/diguris hati dan jiwanya, menjadi pemikir hebat dan terusnya menjadi amilin (pekerja) Islam di luar sana... mari siapkan diri dan jiwa. Isi jiwa sepenuh-penuhnya! Biarlah momentum dan lonjakan IMAN yang membentuk SEMANGAT , bukan sentimen semata-mata. Kerana apa? kerana andai semangat mendahului iman, pasti ia hanya sebentar. Bergeraklah kita atas dasar kefahaman yang jelas, tawaduk dan ikhlas. Cuba-cuba belajar mengimbangi tarbiyyah dan gerak kerja seiring. Pesan murobbi, jadilah Da'ie Mujahid; punya jiwa tarbawi yang ikhlas dan cita yang besar lagi kental untuk merungkai kejahilan dan menyumbang untuk Islam.   "Katakanlah (Muhammad), "Apakah perlu Kami beritahukan kepadamu tentang orang yang paling rugi perbuatannya?", iaitu orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia, sedangkan mereka mengira telah berbuat sebaik-baiknya" (Surah Al-Kahfi; 103-104)

 Tapisan Allah itu pasti berlaku. Bila-bila dan di mana-mana. Sebagai hamba Illahi, mari kita doa agar di tetapkan hati, dipenuhkan dengan tawaduk; tak jemu dalam menyumbang tenaga dan istiqamah dalam menggenggam deenul Haq ini.. Amin  

"Berilah hatimu hanya untuk Allah, pasti Allah temukan padamu pemilik terbaik. Hamparkan masa mu seluasnya hanya untuk Allah, pasti Allah aturkan seluruh kehidupanmu sebaik-baiknya" (Hassan Al-Banna)




Ceritera itu... 

Awak sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Adam tegas dan yakin.
Tiba-tiba mata Fatimah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.
“Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!” pekik Fatimah dengan suara tersekat-sekat.
Mata Adam liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fatimah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fatimah langsung tidak selari dengan penampilannya.
“Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya…” Fatimah mula sebak.
“Tak. Maksud saya ... ”
“Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!” potong Fatimah dengan kasar.
“Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?” suara Fatimah semakin tinggi, setinggi egonya.
Adam diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fatimah’ di sebalik Fatimah yang dia kenal selama ini.
Fatimah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Adam seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu.
Adam muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.
“Ada hikmah,” bisik hati kecil Adam, sekecil pandangannya terhadap Fatimah.
Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Adam sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak.
Keyakinan serta keaktifan Adam berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Adam dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fatimah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Adam. Bagi Fatimah, Adam seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Adam melamarnya menjadi isteri kedua.
Adam masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fatimah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fatimah, namun sikap Fatimah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Adam tersebut. Bagi Fatimah, Adam tak ubah seperti lelaki lain.
Gerak kerja dakwah Adam berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke hilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya.Adam semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya.
Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Adam, sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Adam.
Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Adam dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Aisyah. Adam sekali lagi gusar takut-takut Aisyah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Adam menemui Tuhannya, namun, Aisyah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fatimah atau tidak?
Fikiran Adam bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Aisyah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut.
Setelah merisik pemikiran Aisyah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Adam berjumpa dengan Aisyah bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Adam mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fatimah.
“Awak sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Adam tanpa segan silu.
“Sudi..” jawab Aisyah ringkas.
“Er, betul ke ni?” tergagap Adam menerima jawapan Aisyah yang tenang dan yakin.
Aisyah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Adam.
“Kenapa saya?” tanya Adam ingin tahu.
“Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak,” jawab Aisyah yakin tetapi sedikit malu.
“Baiklah,” jawab Adam tersenyum.


Akhirnya, Adam dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini.
Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Aisyah, Adam terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Aisyah sangat membantu gerak kerja Adam semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Adam membawa Aisyah untuk membantu kerja dakwah seadanya.
Kadang-kala letih menyinggah Aisyah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Aisyah. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Aisyah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.
“Abang, saya nak tanya boleh?” sapa Aisyah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.
“Ye sayang?” jawab Adam sambil memandu.
“Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang,” luah Aisyah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.
“Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa,” Adam menoleh sedikit ke arah Aisyah, sambil tersenyum.
“Yeke? Dia datang program tu rupanya,” jawab Aisyah riang.
Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Adam dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Aisyah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Adam yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Adam aktif dalam dakwah sebelum ini.
“Kita dah sampai,” Adam membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail ditangannya.
Adam berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Aisyah yang berdiri di sebelah kiri kereta.
“Itu isteri pertama abang,” Adam menuding jari ke arah khemah tersebut.
“Mana bang?” Aisyah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari suaminya.
“Tak nampak pun,” Aisyah meninggikan sedikit hadapan kakinya.
“Siapa nama isteri pertama abang?” Aisyah sangat berdebar.

Adam tersenyum lebar, memandang Aisyah penuh tenang.
“Perjuangan,” jawab Adam...

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” 



Barakallahulakuma...

::Di senggang waktu ni juga, hamba ingin mengucapkan Selamat pengantin baru istimewa buat sahabat yang sangat di sayangi, Zulfa (kak pa) dan suami, Ustaz Fahmi... semoga kalian kekal bahagia ke akhir hayat, punya zuriat soleh dan solehah yang mendokong perjuangan Islam suatu masa nanti... Amin Ya Rabb::