CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, May 28, 2010

KUSZA Part I

Bismillah...
Jarang benar hamba menjenguk ke blog ni. Rindu juga mahu mencoret kata. Alhamdulillah harini punya peluang sebentar dan kebetulan mood itu ada. Sambil menyiapkan proposal yang tidak siap-siap. Pening juga memikirkan mahu mula dari mana. Tidak mahu memberatkan penulisan kali ini. Cuma mahu sedikit santai. Dalam kerunsingan memikir pelbagai perkara, sedetik terimbas kenangan sewaktu mengaji di KUSZA. Ya, kolej ugama yang cukup indah. Bangunan tidak canggih. Tidak juga punya infrasturktur yang keterlaluan moden. Cuma seadanya. Tapi yang tak mampu di beli, biah solehah, kecintaan ahlinya terhadap ilmu dan hari-hari yang penuh tarbiyyah. Terakam 1001 kenangan bagaikan di layar perak, terpampang satu persatu kenangan yang cukup dan paling indah yang pernah hamba lalui dalam kembara hidup hamba. Tidak mampu di gambar dengan kata. Hanya yang melaluinya bisa merasa. Ah! Rindu benar hamba dengan suasana dan saat itu. Masa tak kan berputar kembali. Itulah hakikatnya... Teringat hamba satu perisitwa dalam tahun pertama pengajian, sewaktu shopping dan jalan-jalan di Pasar Payang, salah satu tempat favourite yang jadi kunjungan pelajar KUSZA jika hujung minggu. Hamba dan beberapa orang sahabat singgah di kedai menjual batik pelbagai corak. Berkenan dengan corak batik kain ela tersebut, hamba terus bertanya harga, “buleh berapa harganya ni mokcik, takdok diskaun ko..kami ngaji lagi nih?”. Laju sahaja mulut hamba tawar menawar dalam loghat yang tak berapa nak jadi Terengganu nya sambil tersenyum. “Ada...ngaji mane loni? Orang sini ko?” makcik separuh umur itu bertanya ramah, turut tersenyum. “KUSZA makcik... ambe (saya) orang Selangor” ringkas saja hamba menjawab, Leka memilih batik.

Rambang mata di buatnya. Semua cantik-cantik belaka. “Ooo...molek doh ngaji di nung. Hebak budok-budoknye(hebat pelajar-pelajarnya). Baik pulok tu. Ustaznye pung bagus owk..” Aku dan sahabat lain hanya tersenyum. “budok KUSZA sokmo gok maghi sini..” tambah makcik itu ramah. “dok lame agi KUSZA nok tuka name pulok mokcik, jadi UDM, mokcik tahu pasal tu?” sengaja sahabat hamba bertanya.
“Ade jugok mokcik denga, tapi tok bape nok kena(tak berapa nak kenal). Orang sini biase doh kang dengan KUSZA. Mokcik pung lame doh duk sini”. Kami yang mendengar hanya mengangguk-angguk. Faham benar dengan keadaan di Kuala Terengganu ketika itu. Sebut sahaja dari KUSZA, pasti penduduk sekitar ringan mulut dan ramah bercerita. “hangpa nak beli pape tak?” tanya hamba pada sahabat lain. Semua geleng; sekadar ‘cuci mata’ dan meneman hamba ke kedai makcik tu. Selesai memilih hamba membayar harga batik tersebut “sebab awok ngaji lagi di KUSZA, mokcik bagi muroh agilah. Ngaji molek deh..”tutur makcik tersebut. “terima kasih makcik ye..”ucap hamba dan sahabat sambil bersalam dengan makcik tu. “huh, menggunungnya makcik ni dok puji. Tinggi jugak expectation nya kat KUSZA ni...” bisik hati hamba. Seronok benar ketika detik itu. Bergelar pelajar yang lahir dari sulbi KUSZA, kehadirannya sebagai pusat pengajian yang mendidik manusia menjadi insan, turut di rasai manafaatnya oleh masyarakat sekeliling.
“Malam ni ada kuliah maghrib ustaz Shafie kat surau bawah. Hang nk p tak. jom?” ajak rakan sebilik dan sahabat baik hamba, Wawa, student Sekolah Pengajian Islam syu’bah Usuluddin. “Jom..! Ajak kak pah skali”. Balas hamba. Laju Wawa mencapai handfonnya. Kebetulan kak pah duduk di blok Juwairiyah, selang beberapa blog dari kediaman kami. Di KUSZA, blok kediaman pelajar banat tidaklah begitu jauh antara satu dengan yang lain. Jadi agak mudah untuk kami mengikuti kuliah-kuliah maghrib yang hampir setiap malam diadakan di surau-surau blok kediaman. Pelajar bani pula semuanya duduk di asrama luar, di kawasan Tok Jembal berhampiran KUSTEM. Untuk ke kuliah, pelajar bani akan menaiki bas Jepun (gelaran yang diberi pelajar untuk bas KUSZA) dan perjalanan lebih kurang sepuluh minit. Segar lagi diminda hamba, Wawa dan hamba ketika itu sama-sama di tempatkan di blok Khansa dan menjadi rakan sebilik. Wawa dan Zulfa (yang ku gelar kak pah) sama-sama pelajar dari SMA Raja Perempuan Ta’yah, Perak. Perkenalan yang cukup singkat itu telah membuah ukhuwwah dan tautan hati antara kami sehingga ke hari ini. “eh!malam esok ada ceramah Dr. Basri kat DKU. Free tak esok. Jom p?” tanya hamba pada Wawa yang khusyuk menghafal surah hafazan. Hamba maklum benar, walaupun kami berlainan kursus dan sekolah pengajian, pelajar dari Sekolah Pengajian Islam wajib melazimi surah Al-Baqarah dan beberapa surah lain sebagai sebahagian dari pelengkap kursus pengajian mereka. “em...boleh gak. Mesti ramai yang p esok. Kita p awallah pas maghrib. Sat g tak dapat tempat pulak..depa pun dah pakat nak p esok.” “ok...bereh.. p skali ngan depalah”jawab hamba. “kami ok je..eh hang sibuk tak? meh tolong kami jap. Cek bacaan kami ni boleh? Esok pagi nak tasmik depan ustaz la..”tanya Wawa. “ok..boleh je..mase dah time..tutup Quran.hang jangan curi tengok pulak..hihi” sakat hamba.
Perkenalan dengan sahabat-sahabat dari pelbagai sekolah pengajian membuat hamba bisa mencedok sedikit ilmu serta mengambil manfaat dan berkongsi pengalaman dengan mereka. “Islam tu syumul. Tak boleh ambil separuh-separuh..” Intan meluahkan pandangan ketika kami duduk bersantai di bangku, depan blok kediaman. Saja ambil angin petang. “maksud Intan?” seorang sahabat bertanya. Intan membelek buku yang di pegangya. Buku Maza Ya’ni karangan Ustaz Fathi Yakan. Buku yang kami dapat sewaktu menjadi pelajar baru ketika minggu orentasi di KUSZA. “maksud kite, salah satu ciri Islam tu kan syumuliyyah. Sifatnya menyeluruh dan merangkumi semua aspek kehidupan. Muammalah, ekonomi, politik, ikhtilad dan lelain. Kalau kita tinggal satu, lompanglah dia. Macam contoh, kalau kita orang perempuan, Allah wajibkan kita tutup aurat dengan sempurna. Tapi zaman la, kekadang tutup pun ala kadar je. Bak kata orang, buat cukup syarat jelah. Tutup aurat tapi tak sempurna. Bertudung tu ok dah, bagus.. tapi bila tengok berpeleseran dengan lelaki....alahai..sedih je tengok. Ibaratnya simple je, macam Math la. Kalau kira Math, 5-1=4 tapi kalu Math dalam Islam, 5-1=0 la jawabnye... mane taknye sahabat-sahabat, rukun Islam semuanya 5 tapi di tinggalkan salah satu...” panjang lebar Intan menerangkan. Intan, biasa membahasakan dirinya dikalangan teman-teman sebagai ‘kite’ merupakan pelajar syu’bah Syariah yang lembut dan sopan dalam pertuturan, namun cukup matang ketika berhujah. “betul tu Intan..Ibarat kita keluarkan zakat, tapi tak tunaikan solat...tak pun, solat tu, solat tapi tak pose bulan Ramadhan..tu yang slek tu..kan-kan?” hamba menambah. Yang lain mengangguk-angguk setuju. Rancak berbual, kami ternampak Ustaz Wan sedang mengangkat barang. “Assalammualaikum ustaz...” kami memberi salam hampir serentak. “Waalaikumsalam...” sapa ustaz sambil tersenyum ramah. Ustaz Wan adalah felo blok Khansa. Kerap juga memberi pengisian maghrib isya’. Kami agak rapat dengan ustaz, zaujah dan dua anak kembarnya memandangkan ustaz dan keluarga tinggal di kawasan blok kediaman kami juga. “Ustaz nak pindah rumah ke?” Asiah bertanya hairan; melihat ustaz mengangkat beberapa buah kotak. “ye..tapi pindah barang je dulu ni..” jawab ustaz. “Ooo...ustaz nk pindah mane?” giliran Wawa pula bertanya. “tu haa..rumah felo depan tu je...dekat blok Abu Bakar” “Ooo...kalau camtu biar kami tolong ustaz angkat barang. Ade ape-ape yang boleh kami angkat lagi ustaz?”tanya Asiah lagi. “Ade lagi sikit kat depan pintu tu...susahkan kamu je.terima kasih ya”ustaz senyum. “Takpe ustaz...berkat..hihi.sama-sama...” ucap Asiah ceria. Kami tergelak kecil...ya!berkat yang kami kejar.. Itulah yang sentiasa tersemat di hati setiap penuntut di KUSZA...

0 comments: