CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday, May 30, 2010

KUSZA Part II : (Tarbiyyah)

Kasih dan cinta yang terbina, ia kan selamanya... hooo.. selamat berjuang sahabatku, semoga Allah berkatimu, kenangan indah bersamamu, takkan ku biar ia berlalu... “Assalammualaikum...” Wawa muncul dari balik pintu. “Waalaikumsalam..aik? dari mana tadi. Bilik kak pah ek?” tanya hamba pada sahabat karib yang seorang ini sambil melirik jam di tangan. Pukul 10.30 malam. “A’ah...kami study bilik dia tadi. Dengar carta nasyid IKIM ke?” “ A’ah.. sambil-sambil bukak buku ni haa.. de keje sikit nak kene siapkan. Hemm,kami suka la lagu ni..syahdu je. Ke mane la kita semua lepas grad nanti yek..?” tanya hamba dengan muka sepuluh sen. “Ish, jangan fikir dulu la. Lambat lagi masa tu. Asal hang tak lupa kami sudah la... eh, hang ni dah makan belum?” pintas Wawa. “Ok-ok..kami tak lupanya kat hang. A’ah la, tetiba lapar la pulak... jom makan kat Corner F” Hamba hanya tersengih-sengih memandang Wawa. “Jom!”.
“Minggu ni hari Sabtu malam ada pertandingan debat,” Wawa membuka bicara. “Yeke..buat kat DKU ek? Jom pegi..” ajak hamba. Pertandingan debat memang menjadi kegemaran hamba sejak di bangku sekolah lagi. Tidak pernah jemu untuk mengikuti program ‘sihat’ seperti itu. DKU tempat kebiasaannya aktiviti pelajar dibuat. Memang menjadi kelaziman para pelajar di KUSZA setiap hujung minggu padat dengan aktiviti-aktiviti yang bersifat ilmiah. Forum, debat, dan kuliah agama adalah pemandangan biasa di sana. Kehadiran warganya juga tidak pernah mengecewakan. Penuh sahaja Dewan Kuliah Utama (DKU) itu acapkali program diadakan. Hampir penuh sampai di luar pintu dewan. Tak kurang juga yang sanggup berdiri dan duduk di lantai dewan hanya untuk hadir ke program. Tidak perlu publisiti meluas sampai perlu menggantung banner yang kekadang berhabis sampai ratusan ringgit, namun kehadiran warganya cukup mengagumkan. “Ramai betul yang datang. Nasib datang awal, dapat gak tempat” bisik hamba pada Wawa. Malam itu hamba datang dengan beberapa sahabat Usuluddin. “Yang Berhormat tidak dibenarkan sama sekali mengeluarkan hujah menggunakan hadith atau ayat Al-Quran sepanjang perdebatan berlangsung,” Pengerusi tetap membaca beberapa syarat sebelum debat berlangsung. Suasana cukup hangat bagaikan dalam Parlimen. Warga KUSZA terutamanya pelajar muslimin turut menjadi ‘nasi tambah’ dengan memberi sorakan dan sokongan kepada wakil sekolah masing-masing. Mujur Pengerusi tetap pandai mengawal suasana. Perdebatan di antara Sekolah Pengajian Islam (SPI) dan Sekolah Pengajian Undang-undang (SPU) bagaikan pertembungan buku dengan ruas. Kebetulan wakil SPI kesemuanya pendebat muslimin sementara wakil SPU adalah pendebat muslimat. Sungguhpun begitu, debat berlangsung dengan penuh santun, tegas dan hikmah beserta lontaran fakta dan hujah dari kedua pihak. “Wah, mantap betul diaorang berdebat tadi,” Zue bagaikan mengulas. “A’ah..Alhamdulillah SPI menang. Tak sangka jugak boleh menang. SPU pun hebat juga hujahnya tadi kan” tambah Hanan. Kami yang lain turut mengiyakan. Di KUSZA, nama beberapa pelajar seperti Ustaz Hariri, Ustaz Halizal, Ustaz Razlan dan Ukhti Darwin Nashqim tidak asing lagi kerana mereka antara kalangan pendebat terbaik KUSZA dan di kenali di kalangan pensyarah serta para pelajar. Penyuburan dan pembudayaan ilmu di KUSZA menjadikan warganya cakna dan tidak pernah jemu mencari dan mencintai ilmu.
Menjadi kebiasaan setiap Jumaat pagi akan di adakan kokurikulum berkredit untuk pelajar. Ada juga memasang niat mahu mengikuti kursus Ilmu Falaq tapi Hamba dan beberapa orang sahabat lebih berat memilih untuk mengikuti kelas Al-Quran dan Tajwid sebagai pilihan untuk subjek kokurikulum berkredit. “Ambik Ilmu Falaq time final year nantilah,” niat hamba dalam hati di waktu itu. Tapi sampai ke sudah tiada rezeki untuk mengambil kursus itu. Sengaja hamba memilih untuk mengikuti kelas Quran tajwid tersebut dengan niat mahu memperbaiki dan menambah ilmu dalam hukum tajwid dan menghayati keindahan Al-Quran. Tambahan pula salah satu subjek kursus yang wajib diikuti oleh para pelajar dari sekolah bukan pengajian Islam adalah Al-Quran Tajwid. Serba sedikit dapatlah hamba menambah kefahaman dalam ilmu Al-Quran ini dan topup apa yang di ajar oleh ustaz ketika dalam kuliah. Ustaz Mizan adalah guru yang mendidik kami di waktu itu. Kelas Al-Quran yang cukup berkesan dan menghiburkan. Tak pernah kering gusi kami mendengar cerita dan pengalaman hidup ustaz yang bercakap dengan loghat Terengganunya. Ceria sahaja suasana dalam kelas. Tidak sedikit pun terasa mengantuk atau bosan walaupun kelas berlangsung selama 3jam setengah. Ustaz cukup berhikmah dalam mendidik. Masa kan tidak, ustaz Mizan adalah guru Al-Quran yang di segani dan di kenali di Kuala Terengganu. Acapkali juga beliau mengajar dan memberi kuliah di sekitar Kuala Terengganu. Kebiasaannya ustaz akan mengaitkan sirah, pengalaman beliau dengan bab pelajaran kami pada hari itu. Seronok kami mendengar pengalaman ustaz dari zaman sekolah sehingga beliau melanjutkan pengajian di Mesir. “warottilil qur’ana tartila.. dan bacalah al-quran dengan tartil(elok) –muzammil: ayat 4-“ pesan ustaz kepada kami, anak muridnya... teringat ketika mengadakan lawatan di Ma’ahad Tahfiz Padang Midin, ustaz sempat memberi taklimat; lebih kepada ceramah hamba kira..senak perut kami menahan ketawa. Ustaz yang kami kasihi ini memang punya sense of humor tapi kekadang tegas. Ketika final exam di dewan besar, ustaz sempat memberi kata-kata semangat kepada kami untuk menjawab soalan dan sempat berseloroh dengan anak muridnya. Hilang sedikit rasa gementar kami hendak menjawab soalan. Hamba dan sahabat-sahabat lain merasa cukup bertuah dapat belajar di bawah didikan dan bimbingan Ustaz Mizan. Ah! Bahagianya saat itu. Gembira mengalir dalam keberkatan saat menangguk dan menadah ilmu dari sang murobbi...

0 comments: